Thursday, March 11, 2010

tak waras??

Anak bekas setiausaha sulit Pak Lah tak waras
Oleh Ahmad Johari Mohd Ali

2010/03/11
PETALING JAYA: Mahkamah Majistret di sini semalam, memerintahkan anak bekas setiausaha sulit Tun Abdullah Ahmad Badawi yang dituduh mengugut untuk membunuh dan mencederakan bapanya ditempatkan di Hospital Bahagia, Ulu Kinta Perak.

Mahkamah membuat perintah itu mengikut Seksyen 348 Kanun Acara Jenayah (KAJ) selepas meneliti laporan perubatan tertuduh dan berpuas hati ketika kesalahan itu dilakukan, tertuduh Muhammad Ezra Rusli, 27, tidak waras.
Pendaftar Mahkamah Majistret, Latifah Ibrahim yang membacakan keputusan itu mendapati tertuduh melakukan kesalahan berkenaan, tetapi disebabkan tertuduh tidak waras mahkamah membebaskannya dan memerintahkan dia ditempatkan di Hospital Bahagia. Latifah yang membacakan keputusan di akhir kes pendakwaan berkata tempoh berapa lama tertuduh akan ditempatkan di pusat berkenaan akan ditentukan mengikut perkenan Sultan Selangor.

Perbicaraan kes berkenaan hanya berlangsung selama sehari dan pihak pendakwaan memanggil tiga saksi memberikan keterangan iaitu bapa tertuduh, Datuk Rusli Abdul Malik, 62, yang juga pengadu, pegawai polis yang membuat tangkapan dan pegawai penyiasat kes.

Pada 18 September tahun lalu, Muhammad Ezra mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggugut untuk membunuh bapanya dengan menggunakan sepucuk pistol jenis Glock mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Dia juga mengaku tidak bersalah bagi tuduhan kedua iaitu mencederakan bapanya mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di rumahnya beralamat di C2-07, D’Shire Villa, Jalan Camar 4/1, Seksyen 4, Kota Damansara di sini, di antara jam 3.30 petang dan jam 5 petang, 8 September 2009.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Choo Hueay Ting manakala tertuduh diwakili peguam S Selvi.

Sementara itu Muhammad Ezra yang juga seorang peniaga turut didakwa memiliki sebutir bom tangan jenis Grenad (M213) di rumahnya mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 di Mahkamah Sesyen di sini.




LET JUST PRAY HE'LL BE OK IN TIME.